Annona..Di Sini Segalanya Bermula..

Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2007 – 2009, dalam masa kami membuat perniagaan farmasi, ketika itu pada masa yang sama saya dan suami turut membuka bisnes perabot dan hiasan dalaman.

Bukan itu saja, kami juga turut mempunyai bisnes restoran kami sendiri. Dengar macam wahh.. bestnya.. hebatnya..

Nampak memang best. Tapi hakikatnya hanya sekejap je bertahan.

Bisnes perabot dan restoran terpaksa DI TUTUP selepas 2 tahun.

Anggaran kerugian bukan kecil. Lebih kurang RM400-500 ribu. Hutang menimbun masa tu. Asyik kena kejar dengan bank dan lembaga. Hidup tak tenang.

Inilah akibatnya apabila berniaga sesuka hati dan syok sendiri. Tiada mentor dan ilmu secukupnya. Buka bisnes sebab suka-suka, tiada perancangan, tiada ilmu yang cukup.

Akhirnya melingkup.

Seronok-seronok nak labur bisnes baru kononnya, maka duit tu pun seronoklah meleburkan dirinya.

Jadi bila jadi macam tu, menyebabkan saya terfikir, mungkin agaknya saya ni tak sesuai kot buat bisnes cabang lain selain farmasi dan kesihatan/kecantikan.

Maka saya pun dengan rasa sedihnya kembalilah pada rutin normal sehari-hari iaitu duduk dalam kedai farmasi dan terus berkhidmat pada komuniti. Untuk pengetahuan yang baru mengenali diri saya, saya sudah menjalankan perniagaan farmasi sejak 2005 lagi.

Saya masih ingat, hari pertama masa buka kedai tu tak ramai orang yang tahu. Dulu tak ada Facebook macam sekarang. Cara marketing pun pakai flyers saja.

Barang pertama yang terjual ialah minyak cap kapak hehe.. ada lah dalam seringgit lebih harga dia. Dan jumlah jualan hari pertama buka kedai, tak sampai RM50 pun.

Alhamdulillah.. Semakin hari semakin ramai customer / pesakit saya, jualan semakin meningkat. Hasil berniaga dapat buat pergi umrah dan melancong. Staf yang kerja dengan saya dapat beli rumah dan kereta.. Alhamdulillah sekarang sudah masuk tahun ke-15 dan ia masih utuh. Sebaya dengan anak sulung saya usia kedai tu.

…..

Pada 2012, barulah bermulanya kisah saya dengan Annona. Awal tahun 2012, Mak di diagnos Kanser Limfoma. Pada waktu ia di kesan, ia sudah merebak ke tahap 4..Di sebabkan faktor usia, Mak menolak kemoterapi..

Sebagai anak yang berada dalam bidang kesihatan, sudah pastilah hati saya berbelah bahagi. Sudah cuba dipujuk buat kemo, tapi mak tak nak.. Maka dari situ saya mula buat bacaan demi bacaan mengenai alternatif yang boleh bantu tingkatkan kualiti kesihatan mak.

Saya tahu.. tidak ada penawar ajaib untuk kanser..tapi atas dasar kasih sayang anak pada mak, saya usahakan untuk cari juga. Masa tu memang rasa hopeless dan useless pun ada.. sedih sebab tak dapat bantu Mak..

Akhirnya, satu hari saya terbaca artikel mengenai Durian Belanda. Tapi rupanya buah ini susah nak dapat. Merata lah waktu tu saya cari. Kalau takda di market, saya ditemani suami pada waktu itu, sanggup berulang alik ke RnR Tapah untuk dapatkan buah ni.

Di pendekkan cerita, bertitik tolak dari situ lah, disebabkan kesukaran nak dapatkan buah durian belanda ni dan ia pula cepat masam, maka saya mendapat ilham untuk formulasikannya dalam bentuk yang lebih mudah diambil untuk mak..maka dari situlah lahirnya Jus Annona.

Sejak itu, mak mula consume Jus Annona. Mak suka sangat dan nampak perubahan pada mak. Perubahan ini lah yang memberi semangat baru pada saya dan kami sekeluarga.

Selain itu, pelbagai ikhtiar turut dilakukan dan menyedari hakikat bahawa kansernya sudah berada di tahap 4, melihat ibu dapat buat perkara yang dia suka dan senang adalah yang terbaik ketika itu.

Dia dapat ke masjid, kenduri-kendara, kelas mengaji kitab dan Al-Quran – itulah yang arwah suka. Dan kami anak-anak cuma mahu bahagiakan dia..kami ikut saja apa permintaan Mak.

Yang terakhir, kira-kira 11 bulan sebelum meninggal, kami adik beradik dapat hantar Mak menunaikan Umrah. Dalam keadaan kaki yang membengkak sebelah (akibat ketulan) dengan saiz hampir 2 kali ganda berbanding asal, Mak gagahkan diri untuk menjadi tetamu Agung.

Bayangkan lah keadaannya ketika itu.. Fizikal terbatas, nak berjalan pun susah, namun ibadahnya pada Sang Pencipta tiada batasan.

Namun, sertinggi mana pun ilmu kita, sehebat mana pun produk kita, sekuat mana pun usaha kita, tak akan mampu menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah. Pada 21/1/2013, emak menghembuskan nafas terakhir di sisi kami 3 beradik dan dikelilingi oleh ahli keluarga lain dan teman rapat..Jasa saya terakhir pada arwah ialah memandikan jenazah Mak dan bantu kafankan..

Selepas pemergian arwah emak, saya berada dlm ‘dunia’ kesedihan saya sendiri.. Hampir 6 bulan saya tidak boleh melihat produk saya itu.. saya tak boleh dengar nama Annona dan tak mahu ambil tahu langsung pasal apa-apa pun berkaitan Annona.

Ye lah.. sebab ia asalnya untuk emak..buat apa saya nak buat lagi? Jadi bila emak dah tak ada, seolah-olah separuh jiwa saya bersama-sama Annona itu pun berkubur. Bayangkan ketika itu saya tak boleh tengok produk. Saya seakan ‘membenci’ produk sendiri. Semua produk saya sorok, tak boleh tengok. Sedih , benci.

Jadi macamana kita nak jual produk kita kalau dah benci?

Sepanjang hampir setahun saya mencari dan mengumpul kekuatan. Dan Alhamdulillah akhirnya berkat sokongan suami dan keluarga, saya perlahan-lahan bangkit dan mula fikir balik.

“Mak kan suka sangat Jus Annona ni..Jadi kenapa aku nak jadikan kehilangan mak sebagai satu kesedihan.. ? Sebaliknya aku patut jadikan ia sebagai ia sebagai inspirasi untuk aku berbakti membantu ramai orang lagi”

Disember 2014, barulah akhirnya saya pecahkan tembok ketakutan dan kesedihan..Saya cabar diri berdepan dengan public. Saya nak buktikan pada diri sendiri yang saya mampu teruskan legasi Annona.

Kemunculan pertama saya di kaca tv ialah dalam slot Nasi Lemak Kopi O dan saya masuk sebanyak 5 kali masa tu. Bayangkan tak pernah buat public appearance, tup tup keluar tv. Malam tu saya tak boleh tidur, fikir nak cakap depan tv punya pasal. Tapi saya praktis banyak kali dan buat persediaan awal hanya untuk 6 minit saja on air.

Berkuburnya jasad, namun semangat arwah ibu tidak dibiarkan berkubur. Saya ambil buat perisai diri.Tatkala saya mengubah niat meneruskan Annona untuk membantu beri manfaat pada orang lain, maka pada titik itulah Allah mula menghujankan rezeki.

Sehingga hari ni, saya alami banyak perubahan dalam hidup, bukan hidup saya saja bahkan hidup orang lain juga melalui perniagaan Annona, dan inilah yang membakar semangat saya supaya tidak putus asa.

Begitulah lebih kurang kisah saya ini.. Ada banyak lagi, nanti saya kongsi di lain waktu.

Moga dengan perkongsian ini anda dapat sesuatu :

1. Teruskan mencari ilmu, jangan pernah berhenti. Lagi tinggi kita di atas, lagi kuat angin yang menentang. Dengan ilmu, ia jadi perisai diri.

2. Jangan lihat pada siapa yang menyampaikan ilmu atau manfaat, tapi lihatlah apa yang di sampaikan.

3. Pentingnya untuk mencintai apa yang kita buat, baru lah orang lain tertarik atau jatuh cinta dengan apa yang kita buat.

4. Akhir sekali..apa yang melemahkan kita itu sebenarnya ia sedang menguatkan.

Ayuh kawan-kawan, kita semua adalah pemenang. Usah mengaku kalah. Kejayaan ada untuk semua orang.

Selamat Hari Ibu buat Arwah Mak dan juga Mama tersayang.

P.S Nama Annona di ambil dari nama spesis durian belanda, Annona Muricata

Ony Nurhusni

Always Annona..♥️

Leave a Reply

Your email address will not be published.